MAGNUM OPUS





Unleash the creativity inside you ! o(^_^o)

A page that is especially designed for you to contribute your artworks, essays, poems, comics, drawings, creative photos, short stories and any of your splendid masterpiece!
Magnum Opus is another name for a great work, especially the greatest achievement of a person.
Don't worry, because your contribution will always be credited. (^^)
Your Magnum Opuses are highly anticipated. 
Caution : no harsh words and inappropriate pictures or drawings ! 



Lucky no 1
 
Author: Aiman Azahan, President of FSCC, CFS IIUM
Genre: Blog Article (Aiman Azahan Blog), Politics
Topic: Pemimpin Berjiwa Ummah
 
Siapa sangka penderitaan umat Islam Rohingya yang dilihat seakan-akan tiada harapan mendapat simpati masyarakat antarabangsa akhirnya diziarahi Menteri Luar Turki, Ahmet Davotoglu dan isteri Perdana Menteri Turki, Emine Erdogan. Rintihan umat Islam Rohingya yang setiap hari disembelih akibat daripada perbalahan etnik di wilayah Arakan, Barat Laut Myanmar akhirnya diperhatikan dunia selepas lawatan dari negara kedua paling pesat membangun di dunia itu. Tersentuh hati tatkala melihat Ahmet memeluk saudara seagamanya walaupun berbeza bahasa, bangsa dan warna kulit. Begitu juga dengan sebaknya isteri PM Turki itu, menitis air mata sambil menenangkan kaum ibu yang telah lama menagih simpati masyarakat antarabangsa.
 

 
 
Inilah contoh wajah-wajah dan karekter pemimpin yang didambakan masa kini. Merekalah yang sangat-sangat diperlukan apabila berlaku krisis dalam dunia Islam. Sentuhan daripada mereka meredakan ketegangan dan kegusaran di jiwa. Apabila berita tentang lawatan mereka tersebar di laman sesawang, tidak sedikit yang menyatakan hasrat melihat pemimpin negara Malaysia tercinta ke sana berbakti tanpa sempadan negara bangsa.

Keadaan umat Islam amat tertekan dan hina selepas jatuhnya kerajaan Islam Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul. Umat Islam bagaikan dicabut perisai (hilangnya pemimpin) yang selama ini melindungi segala hak mereka dan menjadi suara penggegar dunia bagaikan singa yang mengaum. Kemuncaknya dapat dilihat pada tahun 1948 apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan cadangan pembahagian tanah Pelestin kepada pendatang Yahudi dari seluruh dunia. Maruah umat Islam dirobek dan dilanyak ke tingkatan yang paling rendah dan hina. Barisan kaum lelakinya terkorban sehingga meninggalkan kaum yang lemah seperti orang tua, wanita dan kanak-kanak dalam keadaan tidak berpelindung. Setiap hari mesti nyawa yang melayang. Sehingga hari ini, krisis umat Islam masih berterusan seperti yang dapat dilihat di Palestin, Syria, Myanmar, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Chehnya dan banyak tempat lagi.
Berbincang perihal pemimpin, ingin diketengahkan di sini tentang dua kategori pemimpin yang menjadi penantian segenap lapisan masyarakat di dunia. Dua kategori tersebut adalah pemimpin berjiwa rakyat dan pemimpin berjiwa ummah.
Hampir setiap hari kita dipaparkan dengan pelbagai berita tentang pemimpin berjiwa rakyat tak kira di media arus perdana dan tabloid. Frasa “pemimpin berjiwa rakyat” amatlah biasa didengar dan menjadi semakin popular apabila pilihan raya semakin dekat. Namun, kita jarang dikhabarkan berita mengenai pemimpin berjiwa ummah. Apakah yang dimaksudkan dengan pemimpin berjiwa ummah? Adakah terdapat perbezaan antara pemimpin berjiwa ummah dengan pemimpin berjiwa rakyat? Siapakah yang layak digelar pemimpin berjiwa ummah dan siapa yang bergelar pemimpin berjiwa rakyat?

Frasa pemimpin berjiwa rakyat membawa maksud pemimpin yang merasai denyut nadi rakyat, hidup cara rakyat, dekat di hati rakyat dan cakna serta faham akan suasana dan situasi rakyat hidup, cara bekerja, cara bersosial, cara berekonomi, cara berpolitik, cara beragama dan sebagainya. Pemimpin sebegini tidak asing lagi di Malaysia kerana amalan demokrasi yang diamalkan boleh dikatakan memaksa para ahli politik meninggalkan kemewahan yang mereka idamkan demi memenuhi tuntutan rakyat yang mahu pemimpin seperti mereka.
 
Bagi frasa pemimpin berjiwa ummah pula, ia bermaksud pemimpin berjiwa rakyat yang tidak hanya menumpukan rakyat negara bangsanya sahaja. Pemimpin kategori ini adalah mereka yang memberikan perhatian kepada seluruh hal yang berlaku ke atas setiap jiwa mereka yang beragama Islam tidak kira di negara mana mereka berada sama ada di negara majoriti umat Islam atau sebaliknya di samping tidak mengabaikan hak-hak dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat bukan Islam. Sikap sebeginilah yang telah diamalkan oleh pemerintah Islam zaman kekhalifahan dahulu sehingga membawa kepada kesatuan ummah yang kukuh sehinggakan tiada pihak yang suka-suka mengambil kesempatan atas kelemahan umat Islam.
Selain itu, pemimpin berjiwa ummah juga merupakan orang yang bersedia menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh setiap umat Islam. Seperti yang kita tahu, segala jenis penindasan telah dilakukan ke atas umat Nabi Muhammad tercinta pada masa sekarang. Di Syria, golongan Sunni terus diburu dan dibunuh oleh tentera rejim Basyar Al-Assad dek kerana kelantangan mereka menuntut perubahan dasar dan pendekatan kerajaan yang dilabelkan sebagai kuku besi. Di Myanmar pula, perbalahan puak Buddha Rakhine dengan golongan Muslim Rohingya menyebabkan etnik Islam ini menjadi suku kaum yang paling tertindas di atas muka bumi. Mereka tidak ada tempat berlindung. Negara jiran, Bangladesh, walaupun berstatus negara majoriti kaum Muslimin, mereka tetap enggan membantu masyarakat Rohingya yang tertindas. Terbaru diberitakan tentang gesaan daripada autoriti Bangladesh supaya badan bantuan antarabangsa menghentikan segala bentuk bantuan yang disalurkan melalui Bangladesh atas alasan menyebabkan masalah kebanjiran orang Rohingya di perbatasan Myanmar-Bangladesh. Melihat kepada situasi ini tidak salah jika kita katakan kepimpinan Bangladesh tidak langsung layak dikategorikan dalam kalangan pemimpin berjiwa ummah. Tidak lupa juga di Wilayah Uighur Xinjiang di Barat Jauh China. Nasib umat Islam di sana terus menjadi tanda tanya terutamanya selepas meletusnya perbalahan etnik antara suku majoriti puak Han dan minoriti Muslim Uighur apabila pada awal bulan puasa kali ini, autoriti China menghalang ummat Islam di Xinjiang daripada menjalankan ibadah puasa dan beribadah di masjid seperti kita di sini. Mereka dikehendaki makan pada siang hari. Nasib mereka terus ditandai tanda tanya.
 
Ini baru kisah di tiga tempat. Bagaimana pula dengan nasib ummat Islam di Palestin? Kisah perjuangan mereka dalam menuntut kembali hak nenek moyang yang yang dirampas telah lama tercatat panjang dalam coretan sejarah dunia. Bagaimana pula denagn yang berada di Chechnya? Kisah mereka ditutup rapat oleh media antarabangsa disebabkan bantuan luar yang mencurah-curah datang. Bagaimana pula yang berada di Selatan Thailand? Masih ingatkah tragedi Tak Bai yang membuka topeng sebenar sikap pihak berkuasa Thailand terhadap Muslim di sana. Bagaimana pula dengan nasib kaum Moro di Selatan Filipina yang akhirnya menjadi minoriti di tanah sendiri? Semoga Allah merahmati setiap jiwa orang Islam di atas muka bumi ini.
 

 

 
Semua situasi yang diceritakan di atas mencerminkan keadaan terdesak umat Islam yang sangat memerlukan pemimpin berjiwa ummah. Sudah tiba masanya perisai umat ini dijelmakan semula. Keadaan masa depan ummat tidak dapat atau sukar dicongak lagi. Dasar jangka masa panjang perlu digubal dan dilaksanakan. Persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan perlu terus diperkasakan dalam segenap aspek. Kelalaian dalam melayani kehidupan perlu dinyahkan kerana sekarang adalah tempoh kritikal bagi masa depan umat Islam. Dengan keadaan ummah yang lemah sebegini, beginikah rupa masyarakat Islam yang hendak kita bekalkan kepada generasi yang akan datang?

Pelbagai langkah perlu diatur di setiap peringkat masyarakat. Dalam konteks Malaysia, anak-anak perlu dididik untuk berfikir tentang hal ehwal dunia, bukan setakat dalam negara sahaja. Bimbingan perlu diberikan kepada generasi baru agar mereka merasai semangat persaudaraan antara setiap Muslim di dunia ini merentasi bangsa, bahasa dan warna kulit. Konsep globalisasi yang membawa erti dunia tanpa sempadan sewajarnya menjadikan ummat Islam terus kekal sebagai ummat yang satu dan tidak dipecahkan serta dipisahkan oleh sempadan negara bangsa. Anak-anak juga perlu disuburkan dengan perasaan ingin berkongsi segala nikmat kesenangan, kekayaan dan kemewahan yang dirasai dalam negara dengan saudara seagama mereka yang berada di luar sana.

Dengan adanya pemimpin berjiwa ummah, maruah umat Islam akan dapat dipelihara dan dipulihara. Martabat umat Islam akan kembali dijulang tinggi dengan adanya perisai pelindung yang menjadi benteng kepada setiap jiwa orang Islam. Semua pihak perlu mengambil bahagian dalam mempersiapkan ummah untuk sebarang kemungkinan. Sama-samalah kita berdoa agar muncul satu hari nanti insan yang akan melindungi kesucian dan kemuliaan agama ini serta kesejahteraan seluruh umat manusia, insyaAllah.

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’, ayat 58).